DASAR-DASAR KERAJAAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN

 

 

PENGHAYATAN ETIKA & PERADABAN (MPU21032) 

POLITEKNIK PORT DICKSON 

SESI JUN 2020 


PENSYARAH: PUAN RIBHAN BINTI IBRAHIM 

NAMA AHLI KUMPULAN:

1. MUHAMMAD NAQIB BIN MOHD ZULFAKAR (06DPR20F1038)

2. MUHAMMAD RAHIMEE FARIZZUAN BIN MAJID (06DPR20F1011)

3. MUHAMMAD IKHWANUDDIN BIN MANSOR (06DPR20F1035)

PROGRAM: DIPLOMA PEMASARAN

KELAS: DPR1A



TAJUK: DASAR-DASAR KERAJAAN DALAM MEMBENTUK PERPADUAN

PENGENALAN
Maksud perpaduan

   Perpaduan ditakrifkan sebagai hubungan erat atau bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses penyatuan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara. Malaysia merupakan salah satu negara berbilang kaum yang hidup dalam keaddaan harmoni. Antara kaum utama di Malaysia ialah Melayu, Cina, India, Kadazandusun dan Iban.

   Perpaduan tidak akan tercapai jika ada segelintir pihak yang cuba untuk menjadi batu api dan memperbesarkan lagi isu perkauman dikalangan kaum di Malaysia. Perpaduan ialah satu proses yang menyatukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebanggaan bersama di kalangan mereka.

   Perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan & kemajuan negara. Sejak merdeka lagi, kerajaan telah memupuk semangat perpaduan bagi memakmurkan negara ini. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai mungkin tidak akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan.



Maksud dasar

   Dasar atau kadangkala disebut sebagai polisi ialah suatu garis panduan pentadbiran atau pegangan mengenai sesuatu idea yang tersusun rapi. Garis panduan pentadbiran ini merangkumi segala arahan, peraturan dan pedoman sebagai landasan dalam melaksanakan cita-cita yang terkandung di dalamnya demi mencapai matlamat kepimpinan negara ke arah sebuah negara yang gemilang dan maju. Pada umumnya, dasar yang dibentuk oleh kerajaan mempunyai objektif, strategi pelaksanaan dan penilaian terhadap keberkesanannya. Ia boleh menjadi panduan pentadbiran kepada kerajaan untuk mengatasi masalah yang wujud dalam sesebuah negara.

   Negara yang tidak mempunyai dasar-dasar tertentu akan kelihatan sukar bagi pemimpinnya untuk mentadbir atau merancang pembangunan negara. Dengan kata lain, pembangunan sukar dilaksanakan tanpa adanya dasar yang menjadi asas kepada pembangunan. Selain itu, dasar amat penting untuk dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai masalah yang timbul ekoran kesan peninggalan penjajah. Keperluan dasar selain pembangunan ialah mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud di dalam masyarakat dan ia dapat menjamin kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Dasar-dasar yang dibentuk bukan sahaja untuk negara-negara yang maju, bahkan ia sangat penting untuk negara yang sedang membangun seperti negara Malaysia. Proses untuk merancang, menganalisis dan mengadakan perubahan demi perubahan terhadap dasar-dasar yang sedia ada di samping membuat dasar-dasar baru yang bersesuaian dengan hasrat mewujudkan sebuah negara maju masih diteruskan sehingga kini.

 


Matlamat Dasar-Dasar Kerajaan Dalam Membentuk Perpaduan  

   Perpaduan menjadi matlamat setiap bangsa dan negara agar dapat hidup dalam keadaan harmoni dan tenteram. Jika sesebuah negara itu tidak aman, rakyat akan hidup dalam keadaan huru-hara. Hal ini boleh dilihat di negara-negara yang sedang bergolak dan sentiasa berlakunya peperangan yang menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada bantuan luar. Kanak-kanak, kaum wanita dan orang tua menjadi mangsa kebuluran dan serba kekurangan dalam kehidupan. Sangat penting perpaduan dibina dan dipupuk agar ianya menjadi sesuatu budaya dan amalan kehidupan setiap rakyat dalam negara Malaysia. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah dan Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, "Perpaduan sebagai suatu hasrat yang diidamkan adalah sukar diukur, dilihat secara nyata mahupun berkekalan. Perkara ini biasanya hadir mengikut keadaan, keperluan dan detik-detik tertentu secara formal atau tidak formal dalam kehidupan seharian masyarakat".Selain itu, masyarakat yang berbilang kaum dapat menghulurkan bantuan jika berlakunnya  sebarang masalah dalam negara. Sebagai contoh, dalam keadaan dunia yang sedang dilanda wabak covid 19 kita dapat lihat pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.


Cara-cara dasar boleh dicapai

Dalam membentuk perpaduan antara kaum, kerajaan perlu menjalankan dasar perpaduan supaya rakyat Malaysia menjadikan dasar ini sebagai pegangan mereka dalam mencapai perpaduan kaum yang harmoni. Dasar perpaduan boleh dicapai melalui dua cara iaitu:

1. Integrasi: Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik.

2. Asimilasi: Asimilasi ialah satu proses bagaimana kumpulan-kumpulan minoriti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.


Contoh dasar perpaduan yang diperkenalkan

1. Dasar Pendidikan – Falsafah Pendidikan Kebangsaan

2. Akta Bahasa Kebangsaan – Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

3. Dasar Kebudayaan Kebangsaan

4. Dasar Sukan Negara


Kepentingan dasar

1. Dasar Pendidikan – Falsafah Pendidikan Kebangsaan

   Kerajaan menubuhkan satu sistem pendidikan yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan budaya, sosial, ekonomi dan politik. Hal ini juga, dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan saling menghormati serta membentuk masyarakat plural yang harmoni. Objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah amat penting untuk difahami dan diaplikasikan oleh masyarakat. Penyatuan falsafah dan objektif yang seimbang dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan diwujudkan berasaskan kepentingan hubungan etnik yang pelbagai di Malaysia.

   Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 yang bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang saksama melalui peningkatan jumlah pendapatan dan kualiti hidup untuk golongan berpendapatan rendah serta mengurangkan jurang ekonomi antara etnik dan kawasan. Dalam konteks ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan menjadi penghubung antara kaum di Malaysia dan menjadi acuan tempatan yang berada di landasan tepat untuk membawa generasi akan datang sebagai generasi yang lebih bersatu padu. Kesimpulannya, pendekatan yang dibawa oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan berbentuk holistik. Dasar ini selaras dengan dasar semasa ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang unggul.


2. Akta Bahasa Kebangsaan – Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu

   Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan oleh masyarakat. Hal ini disebabkan, ia diluluskan selepas merdeka dan yang berlawanan dengan perlembagaan ini akan terbatal setakat mana yang berlawanan itu. Berpegang dengan prinsip ini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diiktiraf dan berperanan dalam memupuk perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia.

   Pemimpin terdahulu juga menyedari bahawa perlunya diwujudkan bahasa kebangsaan untuk menjadi bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum. Maka, hasil permuafakatan perlembagaan ini, telah diterima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang disentuh dalam Perkara 152. Dalam konteks ini, masyarakat yang majmuk kelihatan sukar untuk setiap etnik berkompromi dalam hal budaya dan agama kerana ia amat sensitif. Maka, hanya bahasa yang boleh dikompromi untuk dikongsi bersama iaitu bahasa Melayu menjadi alat penyatuan etnik di Malaysia. Justeru, artikel ini akan memperincikan lagi dan mengingatkan semula tentang kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan dengan merujuk kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan dan kerelevanannya dalam memupuk perpaduan kebangsaan.

 3. Dasar Kebudayaan Kebangsaan

   Dasar Kebudayaan Kebangsaan juga memainkan peranan dalam usaha untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Zaid Ahmad (2006) menyatakan bahawa perpaduan kaum merupakan penyatuan masyarakat pelbagai kaum yang dapat diwujudkan menerusi ideologi negara. Menurut A. Aziz Deraman (2001), perpaduan kaum amatlah penting dalam konteks negara multietnik seperti Malaysia. Berdasarkan pernyataan tersebut, perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat akan menjadikan negara ini berada dalam keadaan aman dan tenteram bagi membolehkan kerajaan merancang dan melaksanakan program pembangunan dengan lancar untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

   Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah diperkenalkan oleh kerajaan adalah bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan melalui kebudayaan nasional yang dipersetujui oleh semua kaum yang ada dalam negara. Dalam hal ini, kebudayaan kebangsaan yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan digubal berdasarkan persetujuan wakil setiap kaum dengan mengambil kira unsur-unsur kebudayaan kaum lain meskipun kebudayaan Melayu menjadi tunjang dalam pembentukan dasar tersebut. Perkara ini dapat dilihat menerusi perarakan Citrawarna Malaysia pada tahun 2011 yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan yang memaparkan keunikan kebudayaan masyarakat multietnik yang terdapat di Malaysia. Intihanya, kebudayaan kebangsaan memainkan peranan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum menerusi kewujudan satu budaya kebangsaan yang dipersetujui oleh setiap kaum.


4. Dasar Sukan Negara

   Aktiviti sukan berupaya mengukuhkan perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia, disamping membantu meningkatkan tahap kesihatan diri. Hal ini dapat dibuktikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi yang berkata aktiviti sukan akan dapat memberi peluang kepada semua yang terlibat membentuk masyarakat yang lebih sopan, berintegriti dan bertanggungjawab. Melalui aktiviti bersukan pelajar juga akan menyelami erti perpaduan, menghormati antara kaum, menanam rasa cinta terhadap negara dan saling menolong dalam mempertahankan kedaulatan negara.

   Selain itu, ia merupakan salah satu pengisian ke arah pencapaian matlamat konsep 1Malaysia berdasarkan penglibatan semua pelajar pelbagai bangsa, budaya dan agama. Dasar ini sebenarnya selaras dengan dasar sukan negara yang bermatlamat untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat. Oleh hal demikian, penyertaan setiap pelajar dalam aktiviti kokurikulum amatlah penting sebagai satu landasan untuk melahirkan pelajar yang cergas, dinamik serta bersatu padu.


Kejayaan Malaysia dalam membentuk perpaduan pada mata dunia

Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia kini dijadikan contoh kajian oleh Universiti Cambridge atas kejayaannya mewujudkan perpaduan pelbagai kaum. Selain itu, menurut beliau mereka mengambil Malaysia sebagai satu-satunya contoh bagi mengkaji tentang hubungan baik di antara pelbagai kaum dan yang menganut agama yang berbeza.

“Kajian itu adalah tentang apa yang berlaku di Malaysia dan boleh dipelajari,'' katanya kepada pemberita pada 15 Disember 2007.


Rumusan

   Kesimpulannya, pembinaan dasar-dasar perpaduan dapat merapatkan jurang perbezaan budaya, kepercayaan, pandangan, kepentingan melalui pembentukan dasar kerajaan yang dilaksana secara topdown amat penting. Hal ini disebabkan, ia menetapkan hala tuju matlamat perpaduan negara dan kesejahteraan masyarakat. Semua elemen perpaduan dan kesejahteraa negara serta masyarakat ini harus diteruskan secara co-existence yang saling mendokong dan menyokong antara satu sama lain. Walaupun pelbagai kritikan terhadap dasar ini kerana dilihat tidak semuanya memberi atau menghasilkan manfaat kepada setiap lapis masyarakat, tetapi ianya meletakkan asas perpaduan sebagai matlamat akhir pembangunan yang perlu terus diusahakan.

   Sebagai sebuah negara yang beradab dan beradat Melayu, pengukuhan institusi yang meletakkan adab dan adat Melayu sebagai tunjang perpaduan harus terus dilestarikan secara berhemah bersesaian dengan maksud ‘host and settlers society’ yang turut didokong dalam Perlembagaan Persekutuan. Pengukuhan ini masih meneruskan pendekatan akomodasi yang bersesuaian dengan lanskap masyarakat Malaysia yang jelas identiti keetnikannya walaupun dalam idea Malaysia Baru jurang etnik ini mahu dilihat sebagai suatu yang semakin kabur kesan daripada globalisasi terutamanya kepada golongan generasi Z dan Alpha. Dalam meneliti perkembangan negara maju seperti di Utara Amerika dan Eropah, persoalan identiti dan etnik tidak pernah hilang dalam arus pemodenan dan kemajuan teknologi kerana institutionalisasi sistem kapitalisme menerusi dimensi ekonomi politik yang telah membentuk identiti dan etnisiti berlaku secara global menerusi pekerjaan, status sosial, hierarki organisasi, kategori pekerja mahir dan kurang mahir serta lebih ekstrem diskriminasi warna kulit, yang akan terus menjarah fikiran merentasi pemodenan. 


RUJUKAN:

1. http://pamk1.blogspot.com/2011/12/dasar-dasar-kerajaan-dalam-membentuk.html

2. https://www.youtube.com/watch?v=T38uknAaxuk&t=1s

3. Buku Teks Pengajian Malaysia (edisi kelima)

Comments